Hubungan buaya dengan manusia Buaya

Penternakan

Pemandangan ladang buaya dari atas di negara Kemboja

Buaya mula-mula diternak pada awal abad ke-20 tetapi kemudahannya seakan-akan zoo dan punca pendapatan utamanya ialah pelancong. Pada awal 1960-an, kebolehlaksanaan menternak buaya secara komersial disiasat atas tindak balas terhadap penurunan banyak spesies buaya di dunia. Penternakan melibatkan pembiakbakaan dan pemeliharaan buaya yang ditawan sejak menetas, manakala pengambilbelaan (ranching) melibatkan pengambilan telur, anak mahupun dewasa dari liar saban tahun. Pihak-pihak yang menternak buaya mesti memenuhi kriteria Convention on International Trade in Endangered Species (CITES) dengan menunjukkan bahawa mereka tidak menjejaskan populasi liar di kawasan berkenaan.[110]

Penternakan buaya bermula disebabkan permintaan terhadap kulitnya sebagai bahan, tetapi kini hampir semua anggota buaya dipergunakan. Kulit rusuk dan perut paling elok, dagingnya dimakan, pundi hempedunya ternilai di Asia Timur, dan ada kalanya kepala buaya dijadikan hiasan.[111] Dalam perubatan Cina tradisional, daging aligator dikatakan merawat selesema serta mencegah barah, sementara pelbagai organ buaya dipercayai bersifat penawar.[112]

Serangan

Buaya merupakan pemangsa oportunis yang paling berbahaya di dalam air dan tepi air. Diketahui lapan spesies menyerang manusia atas pelbagai sebab, sama ada untuk melindungi wilayah, sarang dan anak-anak; secara tidak sengaja apabila menyerang haiwan peliharaan seperti anjing; atau untuk makanan, kerana buaya besar-besar dapat mengambil mangsa sebesar manusia atau lebih. Spesies yang paling banyak datanya dalam hal ini ialah buaya katak, buaya Nil, dan aligator Amerika. Spesies-spesies lain yang kadang-kadang menyerang manusia termasuklah caiman hitam, buaya Morelet, buaya penyamun, buaya Amerika, gharial, dan buaya air tawar.[113]

Papan tand amaran tentang aligator di Florida

Buaya Nil digeruni sebagai pembunuh terbesar bagi haiwan besar, termasuk manusia, di benua Afrika. Taburannya luas, terdapat di pelbagai habitat dan berwarna samar-samar. Daripada posisi menunggu dengan hanya mata dan liang hidung yang timbul, ia mampu menerkam haiwan-haiwan yang minum air sungai, nelayan, orang mandi, ataupun orang yang menadah air atau mencuci pakaian. Sekali dicakup dan diheret ke dalam air, tipislah peluang untuk mangsa melepaskan diri. Analisis serangan menunjukkan bahawa kebanyakan kejadian berlaku pada musim membiak atau ketika buaya menjaga sarang atau anak yang baru menetas.[114] Biarpun banyak kes tidak dilaporkan, dianggarkan terdapat lebih 300 kali setahun, 63% daripadanya adalah maut. Buaya katak liar di Australia melakukan 62 serangan disahkan tanpa diberangsangkan, menyebabkan kecederaan dan maut dari 1971 hingga 2004.

Buaya katak turut telah menyebabkan kematian di Malaysia, New Guinea, dan lain-lain, bahkan di Sarawak terdapat khabar angin mengenai seekor buaya katak gergasi yang makan manusia digelar Bujang Senang. Buaya amat membenci pencerobohan wilayah oleh buaya lain, manusia, perahu mahupun kanu. Buaya yang besar mahupun kecil mampu menyerang, tetapi yang menyebabkan kematian rata-ratanya jantan besar-besar. Makin besar buaya itu, makin perlunya mengejar mangsa besar, terutamanya babi, lembu, kuda dan manusia. Kebanyakan orang yang diserang oleh buaya adalah berenang atau berendam, tetapi ada dua kali mangsa manusia tidur dalam khemah.[115]

Dicatatkan bahawa aligator Amerika membuat 242 serangan tanpa berangsang dari 1948 hingga 2004, menyebabkan 16 kematian manusia. 10 daripada itu dalam air dan dua lagi di darat; empat lagi itu tidak diketahui keadaannya. Kebanyakan serangan berlaku pada bulan-bulan anas, tetapi di Florida yang panas iklimnya, serangan boleh jadi bila-bila masa. Aligator dianggap kurang agresif berbanding buaya Nil atau buaya katak,[116] tetapi meningkatnya kepadatan penduduk manusia di Everglades telah mendekatkan manusia dengan aligator dan oleh itu menaikkan risiko serangan aligator. Sebaliknya di Mauritania, di mana pertumbuhan buaya terbantut oleh keadaan gersang, orang tempatan berenang dengan damai bersama buaya.

Sebagai peliharaan

Sesetengah spesies buaya diperdagangkan sebagai haiwan peliharaan eksotik. Comel ketika kecil, dan oleh itu senang dijual oleh penjual, namun buaya tidak sesuai dibela kerana ia tumbuh besar-besar dan menjadi mahal dan berbahaya untuk disimpan. Buaya belaann yang makin tua sering dilepaskan oleh pemilik, maka populasi spectacled caiman yang jalang pun wujud di AS dan Kanada. Kebanyakan negara mempunyai peraturan ketat untuk membela buaya.[117]

Dalam perubatan

Darah buaya jati dan aligator mengandungi peptida yang ciri-ciri antibiotik. Ini mungkin menyumbang kepada ubat-ubat antibakteria akan datang.[118]

Rujukan

WikiPedia: Buaya http://www.newholland.com.au/products/docs/9781741... http://www.publish.csiro.au/pid/7185.htm http://espace.library.uq.edu.au/eserv.php?pid=UQ:9... http://www.abc.net.au/science/articles/2012/04/25/... http://www.american-alligator.com/Crocodiles-and-A... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/289723/i... http://www.crocodilian.com/ http://www.edjameson.com/Endangered%20Animals/page... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2013-0... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/06/06...